Sunday, March 13, 2011

Menjerit apabila marah..

" Mengapa jika kita sedang marah, kita akan berbicara dengan suara kuat atau menjerit? " 

Apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah, mereka akan menjerit walaupun lawan bicaranya berada dekat dengannya. Terlihat kejadian pergaduhan antara dua sahabat membuatkan saya berfikir sejenak.. Kawan yang sememangnya agak rapat pada kebiasaannya, seperti bertukar kepada sahabat yang tidak mengenali satu sama lain. Saya terbaca satu artikel di bawah ini :

“Ketika dua orang sedang berada dalam situasi kemarahan, jarak antara ke dua hati mereka menjadi amat jauh walau secara fizik mereka begitu dekat. Kerana itu, untuk mencapai jarak yang demikian, mereka harus berteriak. Namun anehnya, semakin kuat mereka berteriak, semakin pula mereka menjadi marah dan dengan sendirinya jarak hati yang ada di antara keduanya pun menjadi lebih jauh lagi. Kerana itu mereka terpaksa menjerit lebih kuat lagi.”
“Sebaliknya, apa yang terjadi ketika dua orang saling jatuh cinta? Mereka tak hanya tidak berteriak, namun ketika mereka berbicara suara yang keluar dari mulut mereka begitu halus dan kecil. Sehalus apapun, keduanya dapat mendengarkannya dengan begitu jelas. Mengapa demikian?”


# Biasakan diri kita dengan semua situasi. Sama ada bercinta atau dalam keadaan marah, kita perlu pandai menyesuaikan diri. Jangan hanya kerana suara dan kata, kita kehilangan sahabat selamanya. Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"
Saya masih ingin memperkatakan mengenai seseuatu program. Ya, melaksanakan sesebuah program bukannya perkara yang mudah.. Banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa program. Tambah-tambah lagi pelbagai urusan perlu meminta kebenaran daripada pihak yang berkenaan. Alhamdulillah.. Saya amat-amat berterima kasih kepada Puan Siti atau lebih mesra kami panggil dengan nama kak Siti. Puan Siti ini merupakan setiausah kepada Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah tentang kesopanan dan kesantunannya. Sebagai setiausaha dekan, beliau sepatutnya menguruskan urusan yang berkaitan dengan dekan sahaja. Namun, Puan Siti juga dengan rasa ikhlasnya membantu golongan pelajar seperti kami. Yang menjadi persoalannya, kenapa golongan yang sepatutnya membantu kami golongan pelajar selalu mengabaikan kami?. Kami dilayan dengan muka yang masam mencuka, bahasa yang kurang sopan dan senyuman yang tidak pernah terukir di bibir.

# Jika kita berhadapan dengan orang lain, pandai-pandailah menyesuaikan diri. Kita perlu bekerja dengan ikhlas hati, bukan hanya mengejar gaji semata-mata. Jika kita membantu orang lain, orang lain juga akan membantu kita malahan turut mendoakan kebaikan kepada kita. "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Monday, February 21, 2011

Hanya Kerana Nama??

Saya masih ingin memperkatakan tentang pilihan raya kampus.. Hari ini mahasiswa/mahasiswi UPSI akan turun untuk membuang undi.. Kepada semua mahasiswa/mahasiswi UPSI, selamat menunaikan tanggungjawab anda. Walaupun anda tidak menyokong mana-mana parti, pilihlah berdasarkan kelayakan calon. Anda jalankan tanggungjawab hari ini, dan kita berharap calon yang terpilih menjalankan tanggungjawab mereka di kemudian hari. 

Selama pengajian saya selama 3 tahun di bumi bertuah Tanjong Malim, ini kali pertama saya lihat pilihan raya yang agak menakutkan serta menggerunkan. Saya katakan demikian, atas beberapa perkara yang telah saya lihat :


1. Parti-parti yang bertanding memburukkan satu sama lain.
- Tidak perlu memburukkan orang lain, kalau benar anda layak untuk menang dan menjadi MPP, itu sememangnya rezeki anda. Pada pilihan raya kampus, banyak fitnah yang akan kita dengar. Itu salah, ini salah. Hal ini akan kembali normal selepas pilihan raya.


2. Laungan "hebat" calon dan penyokong.
- Amat-amat terkilan apabila laman pidato dijadikan wadah untuk menyalahkan satu sama lain. Tiada lagi unsur kesantunan dan kesopanan. Bukan sahaja penyokong yang menjerit, menjual nama calon. Namun, saya lihat calon itu sendiri terpekik-pekik untuk menyuarakan pendapatnya. 


# Mana perginya kesopanan dan nilai kebitaraan kita sebagai bakal pendidik sekiranya menjerit dan melolong untuk meraih simpati dan undi dijadikan satu hiburan? Jangan hanya menjual nama, jika anda sendiri tidak pasti boleh memikul tanggungjawab yang akan kami galaskan di bahu anda. Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Sunday, February 20, 2011

Musim Mengundi..

Musim pillihan raya yang sedang hangat berlangsung, membuatkan saya ingin mencoretkan sesuatu mengenainya.
Pelbagai poster ditampal di sekitar kolej kediaman dan kampus. Kadangkala agak menganggu keselesaan kami sebagai warga kolej. Namun, memang menjadi tradisi perang poster pasti berlangsung apabila pilihan raya kampus dijalankan.Sebagai mahasiswa yang mempunyai hak mengundi, saya hanya akan memilih calon yang benar-benar layak, bukan diukur melalui parti yang dibawanya.
Sekadar Hiasan

Apa yang ingin saya katakan di sini, sudah menjadi kemestian, rapat umum akan diadakan bagi menarik pengundi. Berlangsung selama 3 hari yang dilaksanakan di sekitar kolej kediaman dan kampus utama menarik minat saya untuk mengikutinya. Saya ingin mendengar manifesto yang dibawa oleh calon, sama ada dapat dicapai atau janji manis yang tak pasti akan terlaksana
Mendengar manifesto yang dibawa, nampak sedikit kekeliruan, ada yang kurang relevan. Namun, itu semua hak mereka untuk memancing undi. Ketika mereka sibuk menghujahkan manifesto yang dibawa, saya begitu tertarik dengan seorang calon yang bertanding. Suaranya lantang ketika berhujah, gentar hadirin yang hadir. Namun, saya begitu tertarik dengan ayat yang dituturkan oleh beliau :


"SAYA TAK PAKSA ANDA PILIH SAYA, TAPI UNDILAH SAYA"


Pening memikirkan makna yang terkandung dalam ayat di atas. Beliau tidak memaksa mahasiswa memilih beliau, tetapi frasa kedua jelas menunjukkan beliau mengharapkan dirinya dipilih. Mungkin, akibat gemuruh ketika memberi ucapan di khalayak ramai, perasaan gugup menguasai diri. Kata-kata yang dituturkan sudah bercampur lalu menimbulkan kekeliruan terhadap pendengarnya. 


# Pilihlah pemimpin yang mampu membuat kerja, membawa suara anda.. Bukan memilih pemimpin yang hanya pandai berkata-kata atau mahu menjual nama. Menjadi pemimpin merupakan satu tugas mulia, namun jika di peringkat akar pun sudah nampak goyahnya, bagaimana jika menjadi pemimpin di dahan yang besar??
Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Monday, February 7, 2011

Bukan Memencilkan Diri

Semester ini, saya akui saya agak berbeza dengan semester-semester lepas.. Dari segi apa?? Dari segi hubungan dengan teman serumah.. Saya kurang berkomunikasi dengan teman serumah berbanding sebelum ini. Saya memang seorang yang agak peramah, di mana saya akan berkomunikasi dengan orang lain tanpa mengira perbezaan umur, ataupun bangsa. 

Saya mempunyai alasan yang munasabah ke atas tindakan yang saya lakukan. Minggu pertama saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan teman serumah.. Alhamdulillah.. Semuanya berjalan lancar. Namun, pandangan pertama saya ternyata salah. Saya ceritakan sedikit masalah yang berlaku.

Semester ini saya tidak mempunyai teman sebilik, mendapat bilik 1 yang mempunyai kelajuan internet yang tinggi dan dilantik secara automatik sebagai ketua rumah oleh pihak kolej kediaman. Bermula di sini, minggu pertama, teman serumah mahu menumpang bilik saya bagi tujuan mencari bahan untuk tugasannya (Bilik saya mempunyai tarikan internet yang agak kuat). Atas sifat kemanusiaan, saya dengan rela hati memberi keizinan. Namun, beliau menyalahgunakan keizinan yang telah saya berikan. Beliau bukan mencari bahan untuk tugasan, tetapi melayari satu laman web untuk tujuan bermain permainan video. Selain itu, beliau turut memasang lagu dengan suara yang agak kuat. Keadaan ini agak menganggu saya yang sedang membuat tugasan yang agak banyak. Keadaan ini masih berlaku sehingga minggu kedua. 
Oleh kerana tugasan yang kian bertambah, saya telah membuat keputusan nekad untuk sentiasa menutup pintu bilik agar tiada lagi gangguan yang menganggu. 
Saya seorang yang memerlukan ketenangan apabila melaksanakan tugasan
# Saya bukan mahu memencilkan diri dan mementingkan diri sendiri. Jika diberi keizinan atau kuasa, jangan kita menyalahgunakannya. Kelak, diri ini tidak akan dipercayai lagi. Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Saturday, January 29, 2011

Perlukah Menjerit??

Tinggal di kolej kediaman menjadikan saya mengenal banyak ragam manusia.. Ada ragam yang membuatkan saya tersenyum, namun ada juga ragam yang buat saya tergamam.

Salah satu perangai yang kurang saya gemari ialah menjerit. Kenapa perlu kita menjerit?
Saya tahu mungkin anda ingin menjimatkan masa, jika perlukan kawan di sebelah rumah, anda hanya perlu memanggilnya dengan kuat.. Menjerit namanya dengan begitu lantang.. Isu ini tidak menjadi masalah sekiranya hanya anda berdua sahaja yang tinggal di kolej kediaman ini. Masalahnya di sini, perbuatan anda itu menganggu ketenteraman warga kolej lain. Lebih-lebih lagi anda menjerit pada waktu malam yang sunyi.

Apa salahnya jika anda berjalan ke rumah sebelah, mengetuk pintu, memberi salam dan terus berjumpa dengan rakan anda itu.. Sememangnya agak mengambil sedikit masa anda, tetapi di sini anda mampu mengembalikan ketenteraman warga kolej lain.Perbuatan anda yang suka menjerit ini juga membawa tanggapan negatif terhadap diri anda sendiri. Kita sebagai kaum wanita, perlulah menonjolkan ciri-ciri kewanitaan walaupun anda telah biasa dilatih secara keras.
Sekadar Hiasan..

# Cubalah untuk menghormati orang lain, jika kita mahu orang lain menghormati kita.. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA..

Friday, January 28, 2011

"Barang awak ad lg kt uma 356..bek amek b4 sy buang...tq.."

Saya amat terkejut apabila menerima pesanan ringkas di atas.
Saya tidak kisah mendapat pesanan ringkas dari nombor yang tidak dikenali..
Masalahnya di sini, bahasa yang digunakan adalah tidak bersesuaian..
Jika kita mengenali seseorang itu, bahasa yang dituturkan mestilah sopan..
Sama sahaja dengan seseorang yang tidak kita kenali..
Bahasa yang digunakan perlulah sopan, bersesuaian dan tidak menghiris perasaan pendengarnya. 
Sekadar hiasan


# Kadang kala hanya dengan satu pesanan ringkas, kita boleh menilai orang.. Jadi, berhati-hatilah sebelum menghantar satu pesanan ringkas.. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA

Thursday, January 27, 2011

Puisi

Sebut mengenai puisi, pasti saya teringat semester lepas yang mana subjek Puisi Melayu meninggalkan seribu satu kenangan yang amat bermakna.. Maklumlah perlu menjayakan satu rekod Malaysia, "Membaca Puisi Satu Malaysia Terbanyak Selama 34jam Tanpa Henti". 

Sejak program tersebut, kemahiran menghasilkan puisi saya semakin bertambah. Mulai saat itu, beberapa perkara atau perasaan yang saya alami, akan saya abadikan dalam bentuk puisi.. Tidak kira sama ada dalam bentuk pantun ataupun sajak. 

Tidak dapat dinafikan apabila duduk berjauhan dengan keluarga tersayang, pasti akan menimbulkan seribu kerinduan terhadap mereka. Mungkin ada yang berpendapat kecanggihan teknologi masa kini dapat menghilangkan perasaan rindu terhadap mereka itu. Namun bagi saya, teknologi semata-mata tidak dapat menghilangkan perasaan rindu tersebut. Oleh itu, ketika kerinduan menjenggah lubuk hati saya, pasti sebuah puisi akan berjaya saya hasilkan.. 

DARI KEJAUHAN
Aku sedar, aku pasti,
Dari kejauhan terhimpit sejuta kerinduan,
Kepada insan yang jauh di mata,
Namun kupasti
mereka tetap di hati.

Dari kejauhan ini,
Kuharus mencari ilmu seluas lautan,
Kumesti mengenal erti kesusahan,
Kuredha dengan unsur kepayahan,
Kubelajar mengawal hati yang rawan.

Namun,
Aku masih bersyukur,
Kerna di kejauhan ini,
Bonda titipkan seribu doa buatku
Ayahnda sampaikan seribu pesanan dan juga restu
Kanda utuskan beribu kali tinta rindu.

Ku mohon pada yang Esa,
Sampaikan salam rindu buat semua,
Dari daku di kejauhan.


# Dengan puisi, kita boleh meluahkan segalanya. Tidak perlu memendam rasa, kelak merana diri,  luahkan sahaja melalui puisi.. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA.

Wednesday, January 26, 2011

Masalah Komunikasi..

Sesuatu perkataan yang dituturkan mestilah mempunyai makna atau dengan kata lain "semantik" bukan??

Walaupun kami mengambil jurusan yang sama, Pendidikan Bahasa Melayu, namun kami berasal dari negeri yang berlainan.. Oleh itu, bahasa yang dituturkan walaupun mempunyai bunyi yang sama, namun tidak sama 100% dari segi maknaya.. Misalnya :


Situasi 1 :
Pelajar Johor :  Azman kena tetak dengan penjenayah yang mahu merompaknya.
Pelajar Sarawak : Hafiz tetak selepas menonton filem senario.


# Dalam situasi 1, perkataan "tetak" mempunyai dua makna yang berbeza,
"tetak" bagi pelajar Johor mempunyai makna "memotong atau memenggal". 
Manakala bagi pelajar Sarawak perkataan "tetak" membawa makna "ketawa".
--> Bayangkan jika pelajar Johor berkomunikasi dengan pelajar Sarawak untuk memberitahu bahawa kawannya di tetak, tetapi pelajar Sarawak memahami perkataan "tetak" itu dalam bahasanya sendiri.. Kan berlaku masalah komunikasi di situ.. Jadi, sebagai pelajar yang mempunyai rakan dari pelbagai negeri, belajar-belajarlah bahasa negeri lain.. Hehe..


Situasi 2 : 
Orang Johor : "Meon, tolong mak kopekkan kelapa tu" kata Mak kepada Meon
Orang Kedah : "Kopek saya tercicir di pasar tani semalam" Jelas Anis


# Dalam situasi 2 pula, perkataan "kopek" yang dituturkan oleh orang Johor membawa maksud "mengupas atau membuang". Manakala "kopek" yang dituturkan oleh orang Kedah itu bermakna "dompet". Lagi sukar jika orang Johor menggunakan perkataan itu ketika berkomunikasi dengan orang Kelantan. Tidak perlu disebutkan apa maknanya.. Saya pasti rakan-rakan pernah mengalami situasi ini. Bagi mereka yang mengetahui makna-makna tersebut, tidak menjadi masalah. Tetapi bagi mereka yang tidak tahu, hai..susahlah jawapannya. 


Oleh itu, saya nasihatkan anda sebelum bertutur pandanglah kanan, kiri, depan dan belakang. Kenal dahulu rakan yang diajak bertutur itu..


** Semenjak belajar di UPSI, saya banyak belajar mengenai makna perkataan ini. Saya pernah melalui situasi-situasi di atas ketika di awal-awal pengajian. Almaklumlah, teman sebilik dan rakan serumah berasal daripada negeri yang berbeza. Teman sekuliah juga demikian, terdapat kelainan bahasa di antara kami.Sejak itu, saya lebih berhati-hati untuk menuturkan setiap perkataan.Kita patut berbangga menjadi anak Malaysia, penuh budaya, penuh bahasa..

-->"Kami" merujuk kepada Pelajar Program Pendidikan Bahasa Melayu ambilan Julai 2008/09




# Kita harus pandai membawa diri, sesuaikan keadaan.. Masuk kandang kambing, mengembek. Masuk kandang kerbau, menguak.. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA

Monday, January 24, 2011

Cukuplah Tersenyum

Selama 6 semester saya menuntut ilmu di UPSI, pelbagai ragam manusia yang saya jumpa.. Ada yang nampak lembut, tetapi keras juga hatinya. Ada yang nampak garang, namun di dalam hatinya berbunga-bunga. Ada pelbagai lagi, cuma agar sukar untuk digambarkan dalam bentuk kata-kata. 
Saya ini bukanlah pandai menilai orang, apatah lagi untuk memberi markah kepada mereka.. Saya tahu tiada manusia yang sempurna..

Sepanjang berada di Tanjong Malim, banyak kedai makan yang telah saya kunjungi.. Kerana apa?? Kerana saya akui saya bukanlah seorang yang rajin memasak.. Kalau rajin saya datang, barulah saya akan memasak, itupun hanya memasak nasi, lauknya akan saya beli di kedai yang terdapat di sekitar kolej kediaman saya. Lagipun kolej tidak membenarkan pelajar untuk memasak, kerana faktor-faktor keselamatan. 

Ya, berbalik kepada kisah asalnya. Banyak kedai makan yang telah saya kunjungi. Di situ juga saya jumpa dengan berbagai ragam manusia. Ada yang cukup bersopan, melayani pelanggan dengan lemah lembut. Ada juga yang agak bengis, masam mukanya seperti mahu menelan pelanggan. Sikap begini yang saya tidak gemari. Anda sebagai peniaga perlulah bijak mengawal keadaan, pelanggan anda adalah punca rezeki anda. Saya tahu ada sesetengah peniaga yang bersifat sedemikian kerana faktor keletihan, tetapi keadaan ini tidak wajar ditunjukkan di depan pelanggan anda.

Hari ini, atas faktor kelaparan, saya turun membeli makanan seawal pukul 11 pagi. Setelah memilih lauk yang berkenan di hati, saya ke kaunter untuk membuat pembayaran. Sejuknya mata saya memandang, dengan senyuman yang dilemparkan oleh peniaga tersebut, saya tahu dia berterima kasih kerana memilih kedainya sebagai destinasi menjamu selera. Peniaga tersebut menyatakan harga makanan yang telah saya pilih.. Ya, agak murah, jauh lebih murah berbanding dengan minggu lepas di kedai yang sama. Selepas membuat bayaran, si peniaga mengucapkan terima kasih dengan senyuman yang masih terukir di bibirnya.. 

Walau hanya dengan senyuman dan ucapan terima kasih, tetapi saya amat berpuas hati..  Tidak perlu menuturkan bahasa yang indah,bermadah ataupun puitis untuk membuatkan seseorang tertarik kepada kita. Cukuplah hanya melemparkan senyuman seikhlas hati kepada orang sekeliling. 


Tidak sukar menghadiahkan senyuman

# Agak panjang entry pada kali ini.. Sebelum itu, Bangsa dipandang bukan kerana rupa, harta dan darjatnya, Bangsa dipandang kerana budayanya.. Bangsa dipandang kerana bahasanya.. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA

Sunday, January 23, 2011

Jangan pandang pada rupa, tetapi pandanglah pada bahasa..

Jangan pandang pada rupa, tetapi pandanglah pada bahasa?? Mungkin tajuk saya agak panjang berjela-jela, merepek dan memeningkan. Tetapi ini adalah salah satu perkara yang seringkali berlaku dalam masyarakat.


Apa pula kaitan rupa dan bahasa??

Betul kata pepatah inggeris "Don't judge a book by a cover" atau lebih mudah difahami "jangan menilai seseorang dari segi luaran sahaja". Apa yang ingin saya kaitkan ialah rupa seseorang dengan bahasa yang digunakan.. Sesetengah orang berpendapat jika kita mempunyai rupa yang cantik, comel, manja dan sopan, tentu sekali bahasa yang digunakan dan dituturkan adalah bahasa yang cantik, yang boleh mencairkan hati pendengarnya. Namun, benarkah pendapat itu???

Saya sama sekali menyangkal pernyataan tersebut.. 

Mengapa?? Kerana saya sendiri telah mengalami keadaan yang sedemikian..Kawan yang suatu ketika dahulu amat saya kenali dengan sifat lemah lembutnya, sopan santun dan keayuan di wajahnya kini sudah berubah 360 darjah.. Kata-kata yang dituturkan langsung tidak mencerminkan rupanya yang ayu dan sopan.. Bukan niat saya untuk mengaibkan dia.. Tetapi saya kurang berkenan dengan tuturnya yang agak menyakitkan hati pembaca atau pendengar. Mana perginya kesopanan yang diajar oleh guru, didikan agama daripada ibubapa??

# Orang yang cantik, tidak semestinya menuturkan bahasa yang cantik. Orang yang hodoh, tidak semestinya menuturkan bahasa yang hodoh. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA

Friday, January 21, 2011

Syabas Sahabat..

Syabas kepada sahabat kelas saya.. Kerana apa?? Mereka sudah mula memahami kepentingan menggunakan bahasa baku dalam penggunaan seharian. Saya pasti mereka tahu akan hal tersebut, tetapi atas beberapa perkara, hal tersebut tidak dapat dilaksanakan seawal mungkin..

Sahabat yang saya maksudkan ialah Siti Munirah dan Nor Syamila.. Mereka yang berasal dari negeri Kedah menggunakan  loghat utara dalam perbualan harian mereka. Beberapa hari yang lepas, semasa menaiki bas yang sama untuk pulang ke kolej kediaman, mereka telah bertekad untuk menukar dan mempraktikkan penggunaan bahasa baku dalam perbualan mereka. Kerana apa? Atas beberapa sebab :
1. Kami akan mula menjalani latihan mengajar pada semester hadapan di mana penggunaan bahasa baku dalam pengajaran adalah amat-amat diwajibkan.
2. Sekiranya mereka ditempatkan atau posting di negeri lain terutamanya negeri di selatan, pantai timur dan borneo, masalah komunikasi akan menjadi isu yang agak berat. Oleh itu, penggunaan bahasa baku amat dititikberatkan.


Berikut merupakan antara perbualan mereka :


Mila : Selepas ini, kita kena cakap bahasa baku. Tak boleh "habaq", "sat" itu semua.
Munirah : Betul tu.. Kita betulkan satu sama lain ya..
Mila : Seronoklah Sikin. Senang nak cakap, memang bahasa orang Johor..
Sikin : ... (Hanya mampu tersenyum).


Sepanjang perjalanan pulang ke kolej kediaman, beberapa kali mereka tersilap dalam menyebut sesuatu perkataan. Mungkin masih baru. Tetapi yang membuat saya bangga, mereka tidak alpa. Sedar sahaja akan kesilapan dalam sebutan, mereka segera membuat pembetulan.
Sebenarnya sahabat, saya amat bersyukur kerana saya dilahirkan dalam kalangan masayarakat yang bertutur dalam bahasa baku (Johor). Namun, disebalik kelebihan saya, terdapat juga kelemahan yang tidak dapat saya elakkan.. 
 Dalam usaha anda, saya sokong 100%. Sekiranya memerlukan bantuan, saya dengan tangan terbuka menghulurkan bantuan. Sekali lagi, saya amat berbangga dengan kamu wahai sahabat. 




# Tidak salah berubah jika perubahan itu membawa kebaikan. Tetapi salah berubah jika membawa kepada keburukan. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA

Tuesday, January 18, 2011

Apa Salahnya Memandang Orang Di Bawah??

Kisah ini juga berlaku semasa saya menghadiri program bersama pemimpin pada 17 Januari 2011 di dataran KHAR.. Ada beberapa perkara yang saya perhatikan  dan salah satunya amat merisaukan saya..

 # Apa salahnya kita sebagai orang atasan melihat orang di bawah kita? 
# Adakah menjadi kesalahan jika orang atasan menegur atau memberikan senyuman kepada orang di bawah kita?

Saya amat memahami sekiranya seseorang itu amat letih kerana terlibat dalam menjayakan program yang besar dan memerlukan komitmen yang tinggi dari mereka. Saya juga sering melibatkan diri dalam sesuatu program seperti itu. Namun, kita perlu pandai mengawal situasi.

 Mungkin bagi sesetengah penghuni kolej, mereka turun untuk memberikan sokongan terhadap program, tetapi ada juga yang turun semata-mata untuk mendapatkan "stiker" yang membolehkan mereka kekal untuk menduduki kolej pada semester berikutnya. Namun, bagi kami pelajar yang agak "senior", hal "stiker" tidak lagi menjadi kerisauan. 

Berbalik kepada isu yang saya ketengahkan, saya kurang berkenan kepada seseorang yang saya gelarkan "gadis B". Dia ditugaskan untuk memberikan "stiker" kepada hadirin yang hadir pada program tersebut. Saya tahu "gadis B" merupakan seseorang yang mempunyai pangkat dan perlu disanjung kerana beliau mempunyai kepentingan kepada kolej kediaman yang saya diami sekarang. Tetapi yang menjadi persoalannya, adakah kerana beliau seseorang yang berada di atas, senyuman adalah perkara yang amat mahal kepada kami golongan di bawah ini?. 
Kami bukanlah hendak disanjung atau dihormati, tetapi cukuplah menjalankan tugas dengan ikhlas. Apa salahnya memberikan "stiker" sambil memandang penerimanya?. Membalas senyuman dan ucapan terima kasih dengan sopannya.. Ya.. Saya terlupa, saya hanyalah orang bawahan.

# Sedangkan Rasulullah s.a.w sebagai Pemimpin Mulia mampu tersenyum kepada umatnya.. Kenapa kita yang sekecil ini, terlalu menyombong terhadap orang lain?
Sekadar hiasan

# Orang di bawah inilah yang suatu ketika dahulu menaikkan anda.. Lupakah anda?? Apabila sudah berada di atas, pandanglah sesekali ke bawah. Baru anda sedar siapa anda.. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit. Tidak selamanya anda berada di atas, suatu masa anda juga akan berada di bawah. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA

Monday, January 17, 2011

Bahasa Juga Membuatkan Seseorang Terguris

"Ponteng" dan "Pengecualian Kuliah" mempunyai makna semantik yang berbeza kan kawan-kawan??

Hari ini, 17 Januari 2011, saya bersama-sama rakan-rakan telah menghadiri program bersama pemimpin, iaitu Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir. Oleh kerana kami yang berada di KHAR dan kawasan sekeliling diberi pelepasan kuliah pada petang ini, jadi saya turun untuk bersama-sama menyokong aktiviti universiti. Bukan kerana saya menyokong mana-mana parti politik, tetapi atas dasar menyokong aktiviti kolej dan universiti serta meramaikan lagi penonton pada program tersebut. Selain itu, saya turun bukan semata-mata ingin mendapatkan stiker kolej seperti yang dicanang-canangkan oleh sesetengah orang.

Apa yang menjadi isu di sini, ialah penggunaan bahasa atau ayat yang dituturkan oleh seseorang dalam program tersebut. Saya gelarkan dia sebagai "gadis A". "Gadis A" telah menuturkan ayat yang membuatkan saya dan rakan yang mendengarnya agak terguris hati. Mungkin tidak sengaja, saya faham.

Saya ceritakan serba sedikit perjalanan program pada hari ini, oleh sebab terdapat pengecualian kuliah, jadi para pelajar perlu menulis nama secara manual di dalam buku yang telah disediakan. Mungkin menunggu terlalu lama, lebih kurang dua jam menjadikan ramai penghuni beransur keluar dari tapak program tersebut. Itu tidak menjadi masalah, kerana terdapat ramai lagi pengunjung yang setia menanti dengan penuh sabar kehadiran Yang Berhormat Menteri Besar.

Selepas MB memberi ucapan sepatah dua, beliau membuka sesi soal jawab terbuka kepada semua pelajar. Semasa sesi soal jawab ini berlangsung, "Gadis A" menjalankan tugasnya iaitu mengimbas kad matrik pelajar. Sampai sahaja di tempat duduk kami, berikut antara serba sedikit perbualan kami :

Gadis A : "Ponteng kelas ke?". 
Kami      : Hah?? Ponteng kelas?
                      Bukan pengecualian kuliah ke?
Gadis A: A'ah. Maaf ya. Pengecualian kuliah. (Sambil tersenyum)

Mungkin dia tersalah sebut, atau mungkin tidak 
 perasan bahawa kedua-dua perkataan tersebut mempunyai makna yang berbeza. Walaupun hal tersebut membuatkan kami terkejut dan terguris, namun kami memandang hal tersebut dari sudut positif.

--> Terima kasih kepada "Gadis A" kerana menerima teguran kami.. Jelas kedengaran beliau menggunakan perkataan "pengecualian kelas" kepada pelajar lain.


# Seseorang yang terbuka menerima teguran merupakan seseorang yang berani.. Manakala seseorang yang sukar menerima teguran, adalah seseorang yang pengecut.. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA

Salah Pemahaman..

Mungkin sesetengah orang fikir mempelajari bahasa Melayu adalah perkara yang amat mudah.. Namun, bagi kami pelajar program Pendidikan Bahasa Melayu di sebuah institusi pengajian tinggi perkara tersebut bukanlah enteng...


Kami perlu mempelajari semuanya, dari mengenal huruf, membuat perkataan, membina ayat, memahami makna serta mengaplikasikan dalam masyarakat.. Semua itu memerlukan ketekunan dan juga kesabaran yang tinggi ya rakan-rakan.. 


Bahasa dan masyarakat memang sesuatu yang tidak dapat dipisahkan lagi. Justeru itu, mata pelajaran Sosiolinguistik diperlukan bagi memastikan kami pandai mahir dalam mengaplikasikan bahasa di dalam masyarakat seharian.. Pelik tapi benar.. Itulah yang kami belajar. Mungkin ada yang berpendapat senang untuk bertutur, tetapi sedarkah mereka bertutur atau berkomunikasi dalam masyarakat juga memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi? 


***Renung-renungkan...