Sunday, March 13, 2011

Menjerit apabila marah..

" Mengapa jika kita sedang marah, kita akan berbicara dengan suara kuat atau menjerit? " 

Apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah, mereka akan menjerit walaupun lawan bicaranya berada dekat dengannya. Terlihat kejadian pergaduhan antara dua sahabat membuatkan saya berfikir sejenak.. Kawan yang sememangnya agak rapat pada kebiasaannya, seperti bertukar kepada sahabat yang tidak mengenali satu sama lain. Saya terbaca satu artikel di bawah ini :

“Ketika dua orang sedang berada dalam situasi kemarahan, jarak antara ke dua hati mereka menjadi amat jauh walau secara fizik mereka begitu dekat. Kerana itu, untuk mencapai jarak yang demikian, mereka harus berteriak. Namun anehnya, semakin kuat mereka berteriak, semakin pula mereka menjadi marah dan dengan sendirinya jarak hati yang ada di antara keduanya pun menjadi lebih jauh lagi. Kerana itu mereka terpaksa menjerit lebih kuat lagi.”
“Sebaliknya, apa yang terjadi ketika dua orang saling jatuh cinta? Mereka tak hanya tidak berteriak, namun ketika mereka berbicara suara yang keluar dari mulut mereka begitu halus dan kecil. Sehalus apapun, keduanya dapat mendengarkannya dengan begitu jelas. Mengapa demikian?”


# Biasakan diri kita dengan semua situasi. Sama ada bercinta atau dalam keadaan marah, kita perlu pandai menyesuaikan diri. Jangan hanya kerana suara dan kata, kita kehilangan sahabat selamanya. Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"
Saya masih ingin memperkatakan mengenai seseuatu program. Ya, melaksanakan sesebuah program bukannya perkara yang mudah.. Banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa program. Tambah-tambah lagi pelbagai urusan perlu meminta kebenaran daripada pihak yang berkenaan. Alhamdulillah.. Saya amat-amat berterima kasih kepada Puan Siti atau lebih mesra kami panggil dengan nama kak Siti. Puan Siti ini merupakan setiausah kepada Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah tentang kesopanan dan kesantunannya. Sebagai setiausaha dekan, beliau sepatutnya menguruskan urusan yang berkaitan dengan dekan sahaja. Namun, Puan Siti juga dengan rasa ikhlasnya membantu golongan pelajar seperti kami. Yang menjadi persoalannya, kenapa golongan yang sepatutnya membantu kami golongan pelajar selalu mengabaikan kami?. Kami dilayan dengan muka yang masam mencuka, bahasa yang kurang sopan dan senyuman yang tidak pernah terukir di bibir.

# Jika kita berhadapan dengan orang lain, pandai-pandailah menyesuaikan diri. Kita perlu bekerja dengan ikhlas hati, bukan hanya mengejar gaji semata-mata. Jika kita membantu orang lain, orang lain juga akan membantu kita malahan turut mendoakan kebaikan kepada kita. "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Monday, February 21, 2011

Hanya Kerana Nama??

Saya masih ingin memperkatakan tentang pilihan raya kampus.. Hari ini mahasiswa/mahasiswi UPSI akan turun untuk membuang undi.. Kepada semua mahasiswa/mahasiswi UPSI, selamat menunaikan tanggungjawab anda. Walaupun anda tidak menyokong mana-mana parti, pilihlah berdasarkan kelayakan calon. Anda jalankan tanggungjawab hari ini, dan kita berharap calon yang terpilih menjalankan tanggungjawab mereka di kemudian hari. 

Selama pengajian saya selama 3 tahun di bumi bertuah Tanjong Malim, ini kali pertama saya lihat pilihan raya yang agak menakutkan serta menggerunkan. Saya katakan demikian, atas beberapa perkara yang telah saya lihat :


1. Parti-parti yang bertanding memburukkan satu sama lain.
- Tidak perlu memburukkan orang lain, kalau benar anda layak untuk menang dan menjadi MPP, itu sememangnya rezeki anda. Pada pilihan raya kampus, banyak fitnah yang akan kita dengar. Itu salah, ini salah. Hal ini akan kembali normal selepas pilihan raya.


2. Laungan "hebat" calon dan penyokong.
- Amat-amat terkilan apabila laman pidato dijadikan wadah untuk menyalahkan satu sama lain. Tiada lagi unsur kesantunan dan kesopanan. Bukan sahaja penyokong yang menjerit, menjual nama calon. Namun, saya lihat calon itu sendiri terpekik-pekik untuk menyuarakan pendapatnya. 


# Mana perginya kesopanan dan nilai kebitaraan kita sebagai bakal pendidik sekiranya menjerit dan melolong untuk meraih simpati dan undi dijadikan satu hiburan? Jangan hanya menjual nama, jika anda sendiri tidak pasti boleh memikul tanggungjawab yang akan kami galaskan di bahu anda. Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Sunday, February 20, 2011

Musim Mengundi..

Musim pillihan raya yang sedang hangat berlangsung, membuatkan saya ingin mencoretkan sesuatu mengenainya.
Pelbagai poster ditampal di sekitar kolej kediaman dan kampus. Kadangkala agak menganggu keselesaan kami sebagai warga kolej. Namun, memang menjadi tradisi perang poster pasti berlangsung apabila pilihan raya kampus dijalankan.Sebagai mahasiswa yang mempunyai hak mengundi, saya hanya akan memilih calon yang benar-benar layak, bukan diukur melalui parti yang dibawanya.
Sekadar Hiasan

Apa yang ingin saya katakan di sini, sudah menjadi kemestian, rapat umum akan diadakan bagi menarik pengundi. Berlangsung selama 3 hari yang dilaksanakan di sekitar kolej kediaman dan kampus utama menarik minat saya untuk mengikutinya. Saya ingin mendengar manifesto yang dibawa oleh calon, sama ada dapat dicapai atau janji manis yang tak pasti akan terlaksana
Mendengar manifesto yang dibawa, nampak sedikit kekeliruan, ada yang kurang relevan. Namun, itu semua hak mereka untuk memancing undi. Ketika mereka sibuk menghujahkan manifesto yang dibawa, saya begitu tertarik dengan seorang calon yang bertanding. Suaranya lantang ketika berhujah, gentar hadirin yang hadir. Namun, saya begitu tertarik dengan ayat yang dituturkan oleh beliau :


"SAYA TAK PAKSA ANDA PILIH SAYA, TAPI UNDILAH SAYA"


Pening memikirkan makna yang terkandung dalam ayat di atas. Beliau tidak memaksa mahasiswa memilih beliau, tetapi frasa kedua jelas menunjukkan beliau mengharapkan dirinya dipilih. Mungkin, akibat gemuruh ketika memberi ucapan di khalayak ramai, perasaan gugup menguasai diri. Kata-kata yang dituturkan sudah bercampur lalu menimbulkan kekeliruan terhadap pendengarnya. 


# Pilihlah pemimpin yang mampu membuat kerja, membawa suara anda.. Bukan memilih pemimpin yang hanya pandai berkata-kata atau mahu menjual nama. Menjadi pemimpin merupakan satu tugas mulia, namun jika di peringkat akar pun sudah nampak goyahnya, bagaimana jika menjadi pemimpin di dahan yang besar??
Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Monday, February 7, 2011

Bukan Memencilkan Diri

Semester ini, saya akui saya agak berbeza dengan semester-semester lepas.. Dari segi apa?? Dari segi hubungan dengan teman serumah.. Saya kurang berkomunikasi dengan teman serumah berbanding sebelum ini. Saya memang seorang yang agak peramah, di mana saya akan berkomunikasi dengan orang lain tanpa mengira perbezaan umur, ataupun bangsa. 

Saya mempunyai alasan yang munasabah ke atas tindakan yang saya lakukan. Minggu pertama saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan teman serumah.. Alhamdulillah.. Semuanya berjalan lancar. Namun, pandangan pertama saya ternyata salah. Saya ceritakan sedikit masalah yang berlaku.

Semester ini saya tidak mempunyai teman sebilik, mendapat bilik 1 yang mempunyai kelajuan internet yang tinggi dan dilantik secara automatik sebagai ketua rumah oleh pihak kolej kediaman. Bermula di sini, minggu pertama, teman serumah mahu menumpang bilik saya bagi tujuan mencari bahan untuk tugasannya (Bilik saya mempunyai tarikan internet yang agak kuat). Atas sifat kemanusiaan, saya dengan rela hati memberi keizinan. Namun, beliau menyalahgunakan keizinan yang telah saya berikan. Beliau bukan mencari bahan untuk tugasan, tetapi melayari satu laman web untuk tujuan bermain permainan video. Selain itu, beliau turut memasang lagu dengan suara yang agak kuat. Keadaan ini agak menganggu saya yang sedang membuat tugasan yang agak banyak. Keadaan ini masih berlaku sehingga minggu kedua. 
Oleh kerana tugasan yang kian bertambah, saya telah membuat keputusan nekad untuk sentiasa menutup pintu bilik agar tiada lagi gangguan yang menganggu. 
Saya seorang yang memerlukan ketenangan apabila melaksanakan tugasan
# Saya bukan mahu memencilkan diri dan mementingkan diri sendiri. Jika diberi keizinan atau kuasa, jangan kita menyalahgunakannya. Kelak, diri ini tidak akan dipercayai lagi. Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Saturday, January 29, 2011

Perlukah Menjerit??

Tinggal di kolej kediaman menjadikan saya mengenal banyak ragam manusia.. Ada ragam yang membuatkan saya tersenyum, namun ada juga ragam yang buat saya tergamam.

Salah satu perangai yang kurang saya gemari ialah menjerit. Kenapa perlu kita menjerit?
Saya tahu mungkin anda ingin menjimatkan masa, jika perlukan kawan di sebelah rumah, anda hanya perlu memanggilnya dengan kuat.. Menjerit namanya dengan begitu lantang.. Isu ini tidak menjadi masalah sekiranya hanya anda berdua sahaja yang tinggal di kolej kediaman ini. Masalahnya di sini, perbuatan anda itu menganggu ketenteraman warga kolej lain. Lebih-lebih lagi anda menjerit pada waktu malam yang sunyi.

Apa salahnya jika anda berjalan ke rumah sebelah, mengetuk pintu, memberi salam dan terus berjumpa dengan rakan anda itu.. Sememangnya agak mengambil sedikit masa anda, tetapi di sini anda mampu mengembalikan ketenteraman warga kolej lain.Perbuatan anda yang suka menjerit ini juga membawa tanggapan negatif terhadap diri anda sendiri. Kita sebagai kaum wanita, perlulah menonjolkan ciri-ciri kewanitaan walaupun anda telah biasa dilatih secara keras.
Sekadar Hiasan..

# Cubalah untuk menghormati orang lain, jika kita mahu orang lain menghormati kita.. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA..

Friday, January 28, 2011

"Barang awak ad lg kt uma 356..bek amek b4 sy buang...tq.."

Saya amat terkejut apabila menerima pesanan ringkas di atas.
Saya tidak kisah mendapat pesanan ringkas dari nombor yang tidak dikenali..
Masalahnya di sini, bahasa yang digunakan adalah tidak bersesuaian..
Jika kita mengenali seseorang itu, bahasa yang dituturkan mestilah sopan..
Sama sahaja dengan seseorang yang tidak kita kenali..
Bahasa yang digunakan perlulah sopan, bersesuaian dan tidak menghiris perasaan pendengarnya. 
Sekadar hiasan


# Kadang kala hanya dengan satu pesanan ringkas, kita boleh menilai orang.. Jadi, berhati-hatilah sebelum menghantar satu pesanan ringkas.. BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA