Monday, February 21, 2011

Hanya Kerana Nama??

Saya masih ingin memperkatakan tentang pilihan raya kampus.. Hari ini mahasiswa/mahasiswi UPSI akan turun untuk membuang undi.. Kepada semua mahasiswa/mahasiswi UPSI, selamat menunaikan tanggungjawab anda. Walaupun anda tidak menyokong mana-mana parti, pilihlah berdasarkan kelayakan calon. Anda jalankan tanggungjawab hari ini, dan kita berharap calon yang terpilih menjalankan tanggungjawab mereka di kemudian hari. 

Selama pengajian saya selama 3 tahun di bumi bertuah Tanjong Malim, ini kali pertama saya lihat pilihan raya yang agak menakutkan serta menggerunkan. Saya katakan demikian, atas beberapa perkara yang telah saya lihat :


1. Parti-parti yang bertanding memburukkan satu sama lain.
- Tidak perlu memburukkan orang lain, kalau benar anda layak untuk menang dan menjadi MPP, itu sememangnya rezeki anda. Pada pilihan raya kampus, banyak fitnah yang akan kita dengar. Itu salah, ini salah. Hal ini akan kembali normal selepas pilihan raya.


2. Laungan "hebat" calon dan penyokong.
- Amat-amat terkilan apabila laman pidato dijadikan wadah untuk menyalahkan satu sama lain. Tiada lagi unsur kesantunan dan kesopanan. Bukan sahaja penyokong yang menjerit, menjual nama calon. Namun, saya lihat calon itu sendiri terpekik-pekik untuk menyuarakan pendapatnya. 


# Mana perginya kesopanan dan nilai kebitaraan kita sebagai bakal pendidik sekiranya menjerit dan melolong untuk meraih simpati dan undi dijadikan satu hiburan? Jangan hanya menjual nama, jika anda sendiri tidak pasti boleh memikul tanggungjawab yang akan kami galaskan di bahu anda. Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Sunday, February 20, 2011

Musim Mengundi..

Musim pillihan raya yang sedang hangat berlangsung, membuatkan saya ingin mencoretkan sesuatu mengenainya.
Pelbagai poster ditampal di sekitar kolej kediaman dan kampus. Kadangkala agak menganggu keselesaan kami sebagai warga kolej. Namun, memang menjadi tradisi perang poster pasti berlangsung apabila pilihan raya kampus dijalankan.Sebagai mahasiswa yang mempunyai hak mengundi, saya hanya akan memilih calon yang benar-benar layak, bukan diukur melalui parti yang dibawanya.
Sekadar Hiasan

Apa yang ingin saya katakan di sini, sudah menjadi kemestian, rapat umum akan diadakan bagi menarik pengundi. Berlangsung selama 3 hari yang dilaksanakan di sekitar kolej kediaman dan kampus utama menarik minat saya untuk mengikutinya. Saya ingin mendengar manifesto yang dibawa oleh calon, sama ada dapat dicapai atau janji manis yang tak pasti akan terlaksana
Mendengar manifesto yang dibawa, nampak sedikit kekeliruan, ada yang kurang relevan. Namun, itu semua hak mereka untuk memancing undi. Ketika mereka sibuk menghujahkan manifesto yang dibawa, saya begitu tertarik dengan seorang calon yang bertanding. Suaranya lantang ketika berhujah, gentar hadirin yang hadir. Namun, saya begitu tertarik dengan ayat yang dituturkan oleh beliau :


"SAYA TAK PAKSA ANDA PILIH SAYA, TAPI UNDILAH SAYA"


Pening memikirkan makna yang terkandung dalam ayat di atas. Beliau tidak memaksa mahasiswa memilih beliau, tetapi frasa kedua jelas menunjukkan beliau mengharapkan dirinya dipilih. Mungkin, akibat gemuruh ketika memberi ucapan di khalayak ramai, perasaan gugup menguasai diri. Kata-kata yang dituturkan sudah bercampur lalu menimbulkan kekeliruan terhadap pendengarnya. 


# Pilihlah pemimpin yang mampu membuat kerja, membawa suara anda.. Bukan memilih pemimpin yang hanya pandai berkata-kata atau mahu menjual nama. Menjadi pemimpin merupakan satu tugas mulia, namun jika di peringkat akar pun sudah nampak goyahnya, bagaimana jika menjadi pemimpin di dahan yang besar??
Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Monday, February 7, 2011

Bukan Memencilkan Diri

Semester ini, saya akui saya agak berbeza dengan semester-semester lepas.. Dari segi apa?? Dari segi hubungan dengan teman serumah.. Saya kurang berkomunikasi dengan teman serumah berbanding sebelum ini. Saya memang seorang yang agak peramah, di mana saya akan berkomunikasi dengan orang lain tanpa mengira perbezaan umur, ataupun bangsa. 

Saya mempunyai alasan yang munasabah ke atas tindakan yang saya lakukan. Minggu pertama saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan teman serumah.. Alhamdulillah.. Semuanya berjalan lancar. Namun, pandangan pertama saya ternyata salah. Saya ceritakan sedikit masalah yang berlaku.

Semester ini saya tidak mempunyai teman sebilik, mendapat bilik 1 yang mempunyai kelajuan internet yang tinggi dan dilantik secara automatik sebagai ketua rumah oleh pihak kolej kediaman. Bermula di sini, minggu pertama, teman serumah mahu menumpang bilik saya bagi tujuan mencari bahan untuk tugasannya (Bilik saya mempunyai tarikan internet yang agak kuat). Atas sifat kemanusiaan, saya dengan rela hati memberi keizinan. Namun, beliau menyalahgunakan keizinan yang telah saya berikan. Beliau bukan mencari bahan untuk tugasan, tetapi melayari satu laman web untuk tujuan bermain permainan video. Selain itu, beliau turut memasang lagu dengan suara yang agak kuat. Keadaan ini agak menganggu saya yang sedang membuat tugasan yang agak banyak. Keadaan ini masih berlaku sehingga minggu kedua. 
Oleh kerana tugasan yang kian bertambah, saya telah membuat keputusan nekad untuk sentiasa menutup pintu bilik agar tiada lagi gangguan yang menganggu. 
Saya seorang yang memerlukan ketenangan apabila melaksanakan tugasan
# Saya bukan mahu memencilkan diri dan mementingkan diri sendiri. Jika diberi keizinan atau kuasa, jangan kita menyalahgunakannya. Kelak, diri ini tidak akan dipercayai lagi. Renung-renungkan "BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"